Amalan Menjemput Rezeki Cara Alquran & Sunnah
Entry
kali ini saya nak kongsikan bersama para pembaca bagaimana cara kita
menjemput rezeki mengikut panduan AlQuran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Disini saya ambil petikan dan coretan dari Blog Ini :
Bermula dengan Surah Ibrahim Ayat 7
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
Selain dari menyelongkar isi Kitab Suci Al-Quran saya juga merujuk pada
blog tertentu dan buku tulisan seorang ustaz. Berikut adalah sebahagian
daripadanya amalan-amalan menjemput rezeki seperti yang dianjurkan
Al-Quran dan Sunnah:-
1. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi
nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya
azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan
memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
2. Utamakan beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan
membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya
maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup
kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu
Hurairah r.a.)
3. Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi
s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan
memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu
Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
4.Meninggalkan perbuatan atau amalan yang berdosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja
membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
5. Sentiasa mengingati Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini
rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
6. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa
yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti
kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga
bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan
Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,
al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya
nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan
ad-Dailami)
7. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
8. Menunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
9. Memperbanyakkan Selawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak
tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan,
dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
hajat. Wallahu a’lam.
10. Buat kebajikan sebanyak mungkin
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan
rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala
kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan
tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
11. Memulakan aktiviti harian seawal pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
12. Menjalin dan menghubungkan silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya
maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
13. Sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai
beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda
s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah
akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid
al-Walid)
14. Bersedekah dan infaq ke jalan Allah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang
Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar
nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain,
nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan,
nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas
r.a.)
15. Mengamalkan solat tahajud
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh
rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan
doanya dimakbulkan Allah .
16. Mengamalkan solat sunat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan
dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah
dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat
rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku
cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan
Thabrani)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika
dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan
boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya
dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah ,
bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan
keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa
amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa
kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung
dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah
suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak
tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak
anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang
baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi
baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal kepada Allah
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar
tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia
pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad,
at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada
takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara
yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Secara ringkasnya untuk menjemput rezeki ialah dengan bertaqwa kepada
Allah. Yakni melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang
Allah larang.
Jom kita amalkan supaya kita hampir dengan ALLAH dan mudah rezeki datang.
Untuk keterangan lanjut/berminat untuk menjadi ahli serta menambah pendapatan sampingan hubungi:
Puan Siti najihah (mommyG)
Shaklee Independent Distributor
[ID No : 907951]
0193452538 | jeehashaklee@gmail.com
COD AREA BANDAR BARU BANGI, KAJANG, SERDANG, PUTRAJAYA, SEREMBAN, SENAWANG, REMBAU